ICT bootcamp 2022

PROGRAM ICT BOOT CAMP SELANGOR (ICTBC 2022) menyokong gerak kerja Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor. Program ini khusus untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang berupaya membangunkan aplikasi digital seiring dengan inspirasi Smart Selangor dan guru-guru yang lebih berketrampilan dalam teknik pengajaran interaktif atas talian. Program ini mensasarkan pelajar sekolah, pelajar IPT dan guru di sekitar Selangor untuk mendalami bidang berasaskan STEM. Dalam program ini, peserta akan didedahkan dengan teknologi asas pengkomputeran (ICT) dan aplikasi ICT kreatif serta inovatif bagi melahirkan modal insan yang serba boleh.

Program ini diharapkan dapat mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran digital dan multimedia kreatif di kalangan pelajar Selangor. Selain itu, usaha ini juga dilihat akan memberi suatu nilai tambah kepada Kerajaan Negeri Selangor, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Perkomputeran seterusnya Universiti Selangor dalam melahirkan modal insan yang berkualiti, celik ICT serta mempunyai minda pembangun teknologi dan tidak hanya berperanan sebagai pengguna teknologi untuk menyokong aspirasi Smart Selangor.

ICTBC 2022

ICT Boot Camp 2022

Kompilasi Video Aktiviti Sesi 3 ICT Boot Camp 2021 (23/10/2021 – 24/10/2021)

Misi

Peranan sebagai pengguna teknologi dan aplikasi menyebabkan pelajar lalai dengan teknologi dan sukar untuk menyediakan mereka sebagai pemimpin masa hadapan. Ini menyebabkan mereka terjebak dengan gejala sosial dan kurang berkeyakinan bila membentangkan idea mereka.

Dengan wujudnya program ini, peserta dapat dibentuk supaya menjadi seorang yang kreatif, inovatif dan berkemahiran untuk menjadi pembangun produk dan aplikasi digital. Seterusnya peserta dapat didedahkan kepada cara berkomunikasi yang baik dan lebih bermotivasi untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.

Objektif

  1. Merangsang daya kreativiti dan inovasi pelajar untuk menghasilkan aplikasi digital yang kreatif dan inovatif.

  2. Membangunkan potensi pelajar melalui penghasilan aplikasi untuk membantu komuniti.

  3. Merealisasikan agenda kerajaan negeri Selangor dalam membentuk negeri yang maju dan berdaya saing dengan pembangunan modal insan yang terlatih dan mahir.

  4. Membentuk jalinan dan kerjasama antara IPT, kerajaan negeri Selangor dan komuniti sekolah.